Kereta Toyota Vios berwarna putih dinaiki dua suspek remuk pada bahagian hadapan selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Pengkalan, Alor Gajah, Melaka.
ALOR GAJAH: Polis menahan dua lelaki disyaki penjenayah selepas terlibat dalam kemalangan ketika melarikan diri daripada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di persimpangan lampu isyarat Pengkalan di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, pemandu dan penumpang kereta Toyota Vios, masing-masing berusia 45 dan 21 tahun mengalami kecederaan parah pada kaki kanan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, sebelum kemalangan berlaku, kedua suspek dikejar URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dari Kampung Lapan hingga ke persimpangan lampu isyarat berkenaan.
“Unit Peronda Polis (MPV) IPD Alor Gajah turut membantu mengejar suspek. Setibanya di lokasi nahas, kereta dinaiki suspek telah memasuki laluan bertentangan dan bergerak melawan arus sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Nissan Navara yang sedang menuju ke Durian Tunggal dari arah Alor Gajah.
“Impak pelanggaran menyebabkan pemandu dan penumpang Toyota Vios mengalami kecederaan parah pada kaki kanan. Kedua-dua suspek dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan menerima rawatan di zon kuning dan merah manakala pemandu Nissan Navara berusia 36 tahun tidak cedera,” katanya.
Tambah Ashari, pemeriksaan lanjut terhadap kereta digunakan suspek menjumpai dadah dan alatan dipercayai untuk jenayah pecah rumah.
“Kita mengesyaki kedua suspek ini adalah penjenayah. Mereka ditahan dan kes ini diserahkan kepada IPD Melaka Tengah untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
































