Pemain Manchester City, Mateo Kovacic menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez untuk meledak gol kedua ketika membantu The Citizens melakar kemenangan 2-0 dalam aksi pertama liga di Stamford Bridge, hari ini.
LONDON: Manchester City memulakan kempen mempertahankan gelaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan kemenangan apabila menewaskan Chelsea 2-0 sebentar tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dua gol City masing-masing dijaringkan oleh Erling Haaland dan Mateo Kovacic sekali gus memberi permulaan yang sempurna kepada skuad kendalian Pep Guardioala dalam memburu kejuaraan EPL buat kali kelima berturut-turut.
City tidak menunggu lama apabila Haaland yang membuat penampilan ke-100 bersama skuad The Citizens menjaringkan gol pertama seawal minit ke-18 sebelum Kovacic meledak gol kedua pada minit ke-84.
Kemenangan itu menyaksikan Chelsea yang dipimpin oleh jurulatih baharu, Enzo Maresca dikecewakan di hadapan penyokong sendiri.
Selepas ini City akan bertemu Ipswich di laman sendiri pada Sabtu ini manakala Chelsea menentang Wolves di tempat lawan pada Ahad ini.
































