Kedua-dua tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.
MELAKA: Seorang pengurus dan pekerja sebuah syarikat pelaburan tidak wujud didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana bersubahat serta memberi rasuah kepada pegawai kanan polis pada Jun tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Elesabet Paya Wan membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, Teo Teck Qing, 26, dan Keong Kah Wai, 19, sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Teck Qing dan Kah Wai didapati bersubahat dan memberi suapan wang tunai berjumlah RM60,000 kepada seorang pegawai kanan polis, Deputi Superintenden Supari Muhammad sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan undang-undang ke atas diri mereka dan rakan-rakan yang lain selepas didapati melakukan aktiviti penipuan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.15 tengah hari di hadapan sebuah pasar raya di Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 1 Jun 2023.
Sabit kesalahan kedua tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainuddin mencadangkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan rasuah dan aktiviti penipuan yang dijalankan amat serius.
Peguam Alvin Tan Keng Yi yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya kini tiada pendapatan tetap dan perlu menyara keluarga.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 setiap tertuduh atau enam bulan penjara jika gagal bayar. Kedua tertuduh membayar denda tersebut.


























