Keadaan kereta Honda HR-V 1.8L V dipandu K.Sivanesan yang mengalami kerosakan di Lebuhraya Utara Selatan selepas dilanggar sebuah lori tanker dalam kejadian di kilometer 53.2 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) awal pagi tadi.
KLUANG: Seorang lelaki maut dilanggar sebuah lori tangki ketika sedang menolak kereta dinaikinya yang rosak di Kilometer 53.2 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi melibatkan K. Sivanesan, 48, yang memandu kereta Honda HR-V dan sebuah lori tangki dipandu Mohd. Azhar Mohd. Halim, 28.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dari arah yang sama dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Sivanesan mengalami kerosakan menyebabkannya berhenti di lorong kiri lebuh raya.
“Sivanesan yang memandu seorang diri kemudian turun dari kereta untuk menolak ke lorong kecemasan sebelum sebuah lori tangki datang dari belakang dan melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menuntut Bahrin lagi, akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, patah kaki dan tangan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan.
Ujarnya, siasatan juga mendapati kejadian berlaku kerana kegagalan pemandu lori tangki mengelak mangsa akibat tidak perasan dan keadaan gelap.
“Mayat dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.


































