KOTA KINABALU: Selepas berjaya menoktahkan kemiskinan tegar 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) dalam Locked Figure (LF) pada penghujung Julai, Sekretariat Sabah Maju Jaya kini memantau seramai 4,634 KIR masih berstatus miskin tegar baharu dalam pangkalan data eKasih.
Sekretariat SMJ memaklumkan, data dinamik di pangkalan data eKasih menunjukkan seramai 4,634 KIR masih berstatus miskin tegar dan sedang dipantau.
“Angka 4,634 KIR ini adalah merupakan permohonan baharu yang berdaftar
dalam sistem eKasih, tidak berdaftar dan perubahan status miskin kepada miskin tegar.
“Bilangan ini akan ditangani di bawah fasa dua Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah.
“Kerajaan Negeri akan mengumumkan data LF yang baharu pada penghujung tahun ini,” katanya.
Sekretariat turut menjelaskan, Locked Figure bermaksud sasaran bilangan miskin tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 untuk dinoktahkan dalam Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar.
Menurutnya, pada 31 Mei 2024, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Sabah akan menoktahkan senarai Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar di dalam LF iaitu seramai 22,510 KIR pada penghujung Julai 2024.
“Pengiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 miskin tegar bagi Negeri
Sabah adalah RM1,218 bagi isi rumah dan RM288 per kapita.
“Pengiraan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Miskin Tegar ditentukan berdasarkan keperluan minimum tenaga/ kalori bagi setiap isi rumah yang mengambil kira piramid makanan dan amalan pemakanan seimbang oleh World Health Organization (WHO) dan Recommended Dietary Allowance (RDA). Ini bagi memastikan setiap isi rumah dapat menjalani kehidupan sihat dan aktif dalam masyarakat,” jelas Sekretariat.
Pada 13 September 2023, Kerajaan Negeri telah mempertanggungjawabkan
Sekretariat SMJ bagi pelaksanaan intervensi bantuan untuk menyelesaikan locked figure miskin tegar seramai 22,510 KIR itu
“Sekretariat telah membangunkan 13 Indikator tambahan untuk tujuan penyelarasan dan keutamaan intervensi bantuan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Sekretariat telah berkolaborasi bersama Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, ICU JPM bagi pelaksanaan gerak kerja lapangan bagi tujuan profiling,
pemutihan dan pemadanan bantuan kepada 22,510 KIR.
“Gerak kerja di lapangan bertujuan bagi pelaksanaan pemadanan intervensi
bantuan kepada KIR/Ahli Isi Rumah (AIR) Miskin Tegar mengikut keperluan isi rumah.
“Bantuan yang ditawarkan adalah bersifat jangka masa pendek, sederhana dan panjang seperti bantuan Perumahan di bawah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, bantuan program pendidikan, padanan pekerjaan bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan pemain-pemain industri, program peningkatan pendapatan serta bantuan bulanan tunai kepada isi rumah yang tidak produktif iaitu mereka yang berumur melepasi umur persaraan.
“Pada masa sama, pelbagai bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri seperti bantuan bulanan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am berupa Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Warga Emas, Bantuan Orang Kelainan Upaya, bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) daripada Kementerian Kewangan Malaysia dan bantuanbantuan pendidikan dan usahaniaga telah disalurkan. Namun, disebabkan bilangan isi rumah yang ramai iaitu purata 6 orang ke atas maka pendapatan yang diterima tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan keluarga.
“Pada 23 Julai 2024, Kerajaan Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis
Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah Bil. 2/2024 telah meluluskan
peruntukan sebanyak RM2,850,537 sebagai bantuan tambahan kepada 1,147 KIR yang masih kekal status Miskin Tegar pada 20 Julai 2024,” jelasnya.
Kelmarin, Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah mengumumkan bahawa miskin tegar dalam senarai LF telah dinoktahkan.


































