Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiapkan kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara bagi menghadapi pertandingan peringkat antarabangsa di masa depan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima baik pencapaian atlet negara pada Sukan Olimpik Paris 2024 berkata, inisiatif itu adalah bagi meningkatkan pencapaian selari dengan tumpuan negara melalui sukan.
Beliau berkata, rakyat Malaysia dan peminat sukan khususnya diminta supaya tidak mengeluh dengan pencapaian wakil negara kerana mereka sudah berusaha sebaik mungkin.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan dan anak-anak yang terbabit dalam sukan Olimpik, mereka berusaha sebaik mungkin.
“Kita menerima baik keputusan… berhubung harapan dan masa depan mereka, kita akan menyiapkan beberapa kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi sukan dan olahraga dalam negara.
“Kita harus tumpu ke depan tapi sementara itu, janganlah mengeluh kerana anak-anak olahragawan sudah berusaha sedaya upaya,” kata beliau selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024, di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Pada Sukan Olimpik Paris 2024, Malaysia berjaya memperoleh dua pingat gangsa dalam acara badminton melalui pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia dan pasangan beregu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
































