Dron yang ditemukan bersama dadah disyaki heroin dan methamphetamine di Penjara Tapah semalam.
TAPAH: Cubaan penjenayah menyeludup masuk dadah di Penjara Tapah menggunakan dron berjaya dikesan selepas penemuan alat tersebut di atas bumbung blok penjara itu semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, polis menerima laporan seorang sarjan penjara mengenai penemuan sebuah dron berwarna putih di atas bumbung Blok Aman Penjara Tapah semasa membuat rondaan bersama rakannya pada kira-kira pukul 5 petang..
“Hasil pemeriksaan menjumpai satu beg dobi yang digantung pada dron tersebut dan di dalamnya terdapat satu peket plastik mengandungi tiga peket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 122 gram.
“Turut ditemui dua peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, berdasarkan siasatan awal, modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron dari luar penjara. Ini merupakan kes pertama yang diterima.
“Polis memandang serius kes-kes melibatkan aktiviti penyeludupan dadah dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap penjenayah kes-kes penyeludupan dadah terutama melibatkan penjara.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


































