Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut apabila kereta jenis Toyota Vios dipandunya terbabas lalu melanggar tiang Telekom dan papan tanda di tepi Jalan Pintas Bulatan Kampung Kopungit, di sini, tengah malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaporkan, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 12.26 tengah malam menerusi talian kecemasan MERS999.

Sepasukan 13 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Masri Gari dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi yang jaraknya dua kilometer dari BBP.
Setiba di lokasi kejadian, mereka mendapati terdapat seorang mangsa terlibat tetapi berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas (rescue tools).
Mangsa yang berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan KKM dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Maklumat lain mangsa tidak diperolehi.
Setelah memastikan keadaan selamat operasi ditamatkan pada jam 1.20 pagi.
































