Suspek lelaki yang dipercayai menjadi keldai akaun apabila memperdaya seorang lelaki lain sehingga mengalami kerugian lebih RM70,000 kini berada dalam tahanan polis di daerah Barat Daya, Pulau Pinang.
BALIK PULAU : Seorang lelaki ditahan kerana menjadi keldai akaun selepas memperdaya seorang mangsa sehingga menyebabkan kerugian lebih RM70,000 dalam satu urusan pelaburan, baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 42 tahun itu ditahan selepas mangsa yang juga seorang lelaki membuat laporan polis di Bayan Lepas, baru-baru ini.
Katanya, mangsa sebelum itu telah tertarik dengan iklan pelaburan yang dimuat naik ke dalam laman Facebook dan telah berhubung dengan seorang perempuan melalui aplikasi Whatsapp.
“Mangsa seterusnya telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan (transaksi) sebanyak RM69,888.
“Selain itu, mangsa turut membuat pinjaman wang secara dalam talian dan membuat beberapa transaksi ke akaun bank yang berbeza berjumlah RM9,580.
“Namun, sehingga kini, pengadu mendakwa bahawa dia tidak menerima pulangan pelaburan serta tidak menerima pinjaman wang yang telah dijanjikan. Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh pengadu adalah sebanyak RM79,468,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Kamarul Rizal, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan.
“Dalam hal ini, polis ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara dan lain-lain menerusi media sosial.
“Selain itu, polis juga menyarankan mereka supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap nombor akaun yang diberikan oleh suspek di portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, melalui pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule,” katanya yang memberitahu, semakan juga boleh dibuat selepas memuat turun aplikasi semak mula CCID di Google Play Store sebelum membuat sebarang transaksi.
Dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal berkata, polis turut menahan dua lelaki yang dikehendaki sebelum ini di kawasan Permatang Pasir dan Teluk Kumbar.
“Kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 34 tahun dan mereka adalah ‘wanted person’ (individu yang dikehendaki polis). Kes tersebut pula disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
































