Nur Dhabitah Sabri akan menggalas cabaran negara di Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri perlu mengutip skurang-kurangnya 330 mata untuk mencipta kejutan membawa pulang pingat menerusi acara 3 meter (m) papan anjal Sukan Olimpik Paris 2024.
Biarpun kelihatan sukar untuk mencabar podium dengan kehadiran atlet China yang sering mendominasi sukan berkenaan, namun tidak mustahil buat Dhabitah untuk mempamerkan terjunan cemerlang di kota Paris.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah teknikal terjun Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Bryan Nickson Lomas berkata, penerjun berusia 25 tahun itu perlu mengutip sekurang-kurangnya 330 mata dan ke atas bagi mengintai kedudukan podium.
“Bagaimanapun, ianya bergantung juga kepada prestasi penerjun lain pada aksi final nanti. Jadi, jika Dhabitah mampu mengutip 330 mata ke atas maka dia ada peluang cerah untuk berada di kelompok empat terbaik,” kata Bryan.
Pada edisi lalu di Tokyo 2020, Dhabitah terpaksa menelan kekecewaan apabila terlepas pingat gangsa selepas mendapat tempat keempat dengan catatan 326.15 mata.
Dalam pada itu, Bryan menjelaskan biarpun Dhabitah masih belum mencatat terjunan 300 mata, namun beliau masih menunjukkan prestasi yang memberangsangkan ketika persiapan dan latihan setakat ini.
Persiapan yang positif itu mampu mencabar atlet dari China, Chang Yani dam Chen Yiwen yang mana mereka menjadi pilihan utama bagi acara berkenaan.
“Kali ini China hantar penerjun yang lain daripada Tokyo 2020 tetapi saya lihat mereka masih dominan.
“Penerjun Korea Selatan, Kim Su-ji yang meraih gangsa ketika Kejohanan Dunia di Qatar juga menjadi pesaing untuk merebut pingat selain Maddison Keeney (Australia) dan Sarah Bacon (Amerika Syarikat),” katanya.
Dhabitah akan memulakan saingannya dengan aksi kelayakan 3m papan anjal hari ini pada pukul 9 malam waktu tempatan di Pusat Akuatik Paris.
































