Pandikar Amin Mulia
KOTA KINABALU: Pemimpin dan calon-calon pilihan raya di Filipina harus berhenti menjadikan isu tuntutan terhadap Sabah sebagai modal politik bagi meraih sokongan pengundi.
Menurut Utusan Malaysia, mantan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, sudah menjadi budaya politik di Filipina untuk menjadikan isu tuntutan terhadap Sabah sebagai modal untuk meraih sokongan pengundi.
Malah, sebelum ini pernah diadakan debat mengenai isu tuntutan Filipina terhadap Sabah dan kesemua calon bersetuju dengan tuntutan tersebut demi meraih sokongan pengundi.
“Bagi saya, perkara ini perlu diberhentikan kerana seolah-olah pemimpin di negara jiran kita tidak tahu tentang kedudukan Sabah. Saya tidak percaya mereka tidak tahu bahawa Sabah telah merdeka berpuluh tahun lalu.
“Kemerdekaan Sabah itu telah pun diiktiraf jadi, apa juga tuntutan yang mereka buat adalah tidak berasas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pandikar yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) berkata, tuntutan terhadap Sabah diasaskan oleh Kesultanan Sulu kerana mendakwa dahulu kawasan Utara Borneo (kini dikenali sebagai Sabah) di bawah pemerintahan Sultan Sulu dan kerajaan Filipina tidak berhak membuat sebarang tuntutan.
Sementara itu, Penyelidik Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo, Universiti Malaysia Sabah, Dr Syahruddin Ag Ahmad berkata, ahli-ahli politik Filipina hanya menggunakan isu tuntutan Sabah sebagai wilayah milik Filipina sebagai manifesto untuk menarik sokongan dan undi rakyat terutama di selatan Filipina.
“Tuntutan ke atas Sabah adalah topik perbahasan yang hangat dibincang dan dipantau oleh akar umbi di selatan Filipina terutama di Mindanao dan lain-lain pulau berdekatan dengan Sabah.
“Ahli politik Filipina tahu bahawa dengan meletakkan keutamaan kepada tuntutan Sabah dalam kempen pilihan raya, pasti akan dapat meningkatkan semangat nasionalisme sekaligus meningkatkan kadar sokongan rakyat Filipina kepada individu ahli politik berkenaan,” katanya.
Syahruddin berkata, ahli politik Filipina kerap mendendangkan naratif tuntutan ke atas Sabah ini dengan mengaitkan elemen sejarah lampau semata-mata.
































