BALIK PULAU : Sembilan suspek yang terdiri daripada lapan lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan diberkas bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh melibatkan seorang lagi warga asing di Jalan Bukit Genting di sini, awal pagi tadi.
Mangsa dipercayai terbunuh selepas ditikam dalam satu pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran makanan Thai di situ kira-kira pukul 3.15 pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai seorang lelaki warga asing yang berada dalam keadaan tidak sedarkan selepas disyaki ditikam dalam pergaduhan itu yang dipercayai turut disertai oleh beberapa individu lain.
Katanya, susulan kejadian tersebut, pihaknya kemudian melancarkan satu operasi khas yang dikenali sebagai Op Kejam di sekitar Balik Pulau untuk mengesan suspek yang terlibat.
“Kesemua suspek yang berusia 20 hingga 35 tahun akhirnya berjaya ditahan dan polis yakin penangkapan mereka telah berjaya menyelesaikan kes ini,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Hamzah, siasatan awal mendapati, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati .
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kesemua tangkapan kini telah direman selama tujuh hari sehingga 11 Ogos ini bagi membantu siasatan,” ujar beliau.




























