Mohd Shuhaily Mohd Zain
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Nigeria yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks diselamatkan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selepas tiga pusat hiburan di Jalan Changkat diserbu malam Jumaat.
Menerusi serbuan Op Pintas Wakanda yang turut disertai Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri turut memeriksa sebuah premis di Sri Hartamas, di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam operasi bermula pada pukul 1.30 pagi itu, pihaknya turut menahan 39 warga Afrika serta dua Pakistan.
“Mereka yang berusia 25 hingga 56 tahun disiasat dan untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua tangkapan termasuk 11 wanita itu membabitkan warga Tanzania, Nigeria, Uganda, Sierra Leone serta Pakistan,” katanya di sini.
Kata Mohd Shuhaily, tiga warga Nigeria termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007.
Tambah beliau, tangkapan masing-masing dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan IPD Brickfields untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi sama, seorang lelaki bertindak agresif apabila berang teman wanitanya yang juga warga Nigeria ditahan pihak berkuasa.


































