Novel siri Harry Potter pernah mencetuskan fenomena global kerana menjadi fiksyen terlaris di dunia dengan angka jualan melebihi 500 juta naskhah.
Bukan hanya dalam industri penerbitan, karya Harry Potter turut mencapai kejayaan luar biasa apabila diadaptasi ke filem, dengan meraih kutipan lebih AS$7.7 bilion (RM35.7 bilion) di seluruh dunia.
Namun, siapa sangka di sebalik lakaran kejayaan itu, rupanya tersirat berjuta kisah duka yang terpaksa dilalui penulisnya, J.K Rowling.
Menurut Utusan Malaysia, Rowling atau nama sebenarnya Joanne Rowling, 59, adalah pengarang terkenal dari Britain dan antara tokoh paling dihormati dalam kesusasteraan kontemporari.
Minat yang mendalam terhadap penulisan dan sastera sejak kecil mendorong Rowling menjadi seorang penulis selebriti terkaya serta berpengaruh.
Dalam meniti kejayaan itu, Rowling juga menempuh liku hidup yang pernah mengheretnya kepada krisis kewangan dan fasa kemurungan.
Setelah menamatkan pendidikan, beliau berpindah ke Portugal untuk bekerja sebagai guru bahasa Inggeris.
Rowling kemudian berkahwin dan melahirkan anak perempuan, Jessica.
Malangnya, perkahwinan itu berakhir dengan penceraian, menjadikannya seorang ibu tunggal yang bergantung hidup dengan bantuan kebajikan.
KARYA HARRY POTTER
Idea Harry Potter diilhamkan daripada pengalamannya menunggu kereta api dari Manchester ke London pada 1990.
Beliau mengambil inisiatif untuk menjadikan karya itu sebagai inspirasi hidupnya dan selama beberapa tahun Rowling berusaha mengembangkan plot dan watak, sehingga dunia Harry Potter terbentuk.
Selepas melepasi fasa berat dalam kehidupan peribadi, beliau sekali lagi diuji untuk mendapatkan penerbit bagi manuskripnya.
Rowling menghadapi banyak penolakan daripada syarikat penerbitan sebelum Bloomsbury, sebuah syarikat penerbitan kecil yang berpusat di London, memberikan peluang kepada karya beliau.
Siri novel pertama Harry Potter and the Philosopher’s Stone menjadi titik perubahan dalam hidup Rowling dari seorang ibu tunggal yang bergantung dengan bantuan kebajikan kepada penulis terkenal.
Novel tersebut diterbitkan pada 1997 dan tiada siapa menyangka ia akan mencetuskan fenomena global.
Harry Potter and the Philosopher’s Stone dengan cepat meraih populariti dalam kalangan pembaca muda dan pengkritik.
Pencapaian dalam penerbitan itu mengangkat Rowling sebagai antara lima penulis buku yang menerima bayaran paling tinggi di dunia pada 2019, dengan anggaran pendapatan AS$54 juta (RM397.95 juta).
Pada 2004, Forbes menamakan Rowling sebagai individu pertama memperoleh bayaran lebih AS$1 bilion (RM4.63 bilion) daripada penulisan buku, selain turut disenaraikan penghibur wanita kedua terkaya di dunia.
Rowling juga disenaraikan di kedudukan ke-1,062 terkaya dunia pada tahun sama, namun beliau menafikan pengumuman itu.
Ia kerana kebanyakan pendapatannya disumbangkan kepada badan amal seluruh dunia.
Tidak kira berapa jumlah kekayaan yang dimilikinya, perjalanan luar biasa Rowling dan pencapaian sasteranya memberikan inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia.
Legasi Rowling bukan hanya kisah fantasi mengenai remaja lelaki yang datang daripada keluarga ahli sihir, tetapi juga penerapan terhadap nilai-nilai positif dalam persahabatan, keberanian dan perjuangan melawan prejudis.