Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket curi kenderaan ditahan di Batu Gajah semalam.
IPOH: Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah kereta selepas pemandunya bertindak agresif menghimpit dan melanggar kenderaan polis ketika dikejar dalam kejadian di Taman Song Choon, di sini semalam.
Kejadian pada pukul 4 pagi itu berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Kampung Rapat sedang menjalankan penugasan Op Lejang dan menemukan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dalam keadaan mencurigakan.
Pemerhatian terhadap SUV berkenaan mendapati terdapat tiga lelaki turun dari kereta dan disyaki cuba melakukan curi kenderaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, ketika polis menghampiri kereta itu untuk membuat pemeriksaan, suspek telah memecut laju tanpa menghiraukan arahan agar memberhentikan kenderaan.
Katanya, SUV itu telah diekori hingga ke susur keluar Plaza Tol Gopeng di mana suspek bertindak agresif merempuh palang sebelum mengundur kenderaan dan melanggar kereta polis.
“Tindakan suspek itu menyebabkan anggota terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kereta dinaiki suspek bagi melindungi diri.
“Kenderaan tersebut terus memecut laju ke arah Gopeng dan masuk ke kawasan Batu Gajah sebelum memandu melawan arus di simpang lampu isyarat Kampung Pisang dan Jalan Bemban,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sembang Santai Ketua Polis Perak di sini semalam.
Menurut Azizi, suspek terus memandu kenderaan secara berbahaya dengan menghimpit kereta polis, menyebabkan dua das tembakan terpaksa dilepaskan dengan salah satu terkena pada tayar hadapan.
Katanya, tindakan agresif suspek itu berakhir apabila tayar SUV dinaiki pecah menyebabkan kenderaan itu terbabas di persimpangan jejambat di Jalan Siputeh, Batu Gajah.
“Semasa tangkapan dibuat, berlaku pergelutan antara anggota dan suspek yang cuba melarikan diri namun mereka yang berusia 34, 37 dan 47 tahun itu berjaya diberkas.
“Pemeriksaan dalam SUV yang disyaki kenderaan yang dicuri di Puchong itu telah menjumpai beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan mendapati ketiga-tiga suspek warga tempatan itu memiliki 40 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah selain merupakan individu dikehendaki polis.
Malah katanya, kesemua suspek itu juga dipercayai terlibat dalam sindiket curi kenderaan dengan menyasarkan pacuan empat roda.
“Kesemua mereka direman empat hari untuk siasatan lanjut termasuk Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” ujar beliau.