Gelaran artis dan selebriti bukan sesuatu yang seharusnya dijadikan tiket untuk melakukan apa sahaja kesalahan.
Tidak kira sepopular mana pun anda, dunia ini ada undang-undangnya. Seharusnya artis dan selebriti menjadikan populariti serta pengaruh mereka untuk menginspirasikan anak muda mengejar impian mereka namun tetap ada segelintirnya yang ‘hilang arah’.
Utusan Malaysia menyenaraikan lima bintang K-pop yang terlibat dalam kesalahan jenayah sehingga meringkuk dalam penjara.

SEUNGRI
Tidak lengkap kiranya jika kami tidak menyenarai nama bekas anggota kumpulan BigBang, Seungri yang telah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun namun dibebaskan selepas 18 bulan.
Seungri didakwa atas tuduhan skandal Burning Sun yang menggemparkan dunia apabila dikatakan menyediakan pelacur kepada ahli-ahli perniagaan, penyelewengan wang, perjudian dan beberapa jenayah lain.
Seungri bagaimanapun membuat permohonan maaf secara terbuka, selain mengundurkan diri daripada Bigbang. Malah, karier seninya dianggap musnah apabila netizen mula menyerang dan memboikot namanya dalam sebarang aktiviti seni.

DAHEE
Kontroversi yang cukup menggemparkan dunia hiburan K-Pop ini tercetus apabila anggota Glam, Dahee ditahan bersama model, Lee Jiyeon selepas didapati mengugut pelakon, Lee Byunghun.
Dahee dan Jiyeon didapati bersalah merakam dan menyimpan video berunsur lucah pelakon lelaki tersebut yang ketika itu berlaku curang terhadap isterinya, Lee Min Jung.
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun untuk kedua-dua pesalah namun keputusan tersebut ditarik semula apabila Byunghun sendiri memohon agar kedua pesalah tidak dijatuhkan hukuman penjara. Pening sungguh!

PARK YOOCHUN
2019 menjadi tahun hitam buat bekas anggota TVXQ, Park Yoochun apabila dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan didapati bersalah atas tuduhan memiliki 1.5 gram dadah jenis heroin bersama bekas teman wanitanya.
Park Yoochun sebelum itu dijatuhkan hukuman percubaan selama dua tahun namun gagal sehingga berdepan hukuman penjara.
Selain itu, penyanyi itu turut didakwa atas kesalahan gangguan seksual dan dia segera meminta maaf serta membayar ganti rugi.

KIM HIMCHAN
Bekas anggota B.A.P, Kim Himchan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan di atas pelbagai kesalahan antaranya mencabul seorang wanita, gangguan seksual dan memeras ugut.
Himchan ditahan pada 24 Julai 2018 di kawasan daerah Namyangju apabila seorang wanita yang ketika itu sedang minum bersama teman-temannya dicabul oleh penyanyi tersebut.
Sebelum kejadian itu, Himchan didapati bersalah apabila melakukan gangguan seksual dan memeras ugut seorang wanita. Akibat kesalahan tersebut, dia perlu menjalani kelas pendidikan seks selama 50 jam. Dasar miang!

JUNG IL HOON
Popular sebagai salah seorang anggota BTOB, penyanyi, komposer dan penulis lirik, Jung Il Hoon dijatuhkan hukuman dua tahun penjara selepas didapati bersalah membeli dan memiliki 826 gram dadah jenis ganja.
Kejadian yang berlaku pada 5 Julai 2016 itu mencetuskan kontroversi sehingga peminat memaksa penyanyi itu mengundurkan diri daripada BTOB.
Il Hoon akhirnya akur dengan desakan tersebut dan mengumumkan pengunduran dirinya.