Kontinjen negara yang akan menyertai Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang di Istana Negara baru-baru ini. – Ihsan MOM
PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil memberi penjelasan berhubung jumlah pegawai yang dibawa ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mendapat pertikaian sesetengah pihak sebelum ini.
Menurut Utusan Malaysia, MOM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada kelmarin berkata seramai 40 jumlah pegawai telah dibawa ke Temasya Olimpik bagi menjaga kebajikan 26 atlet negara yang mengambil bahagian.
Katanya, daripada jumlah tersebut termasuk 15 daripadanya adalah pakar teknikal, 11 staf sokongan, sembilan pengurusan dan sekretriat dan lima lagi adalah pengurus pasukan.
“MOM kekal komited untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan dan pembangunan atlet, memberikan mereka persekitaran terbaik untuk cemerlang dan memberi kejayaan kepada Malaysia di Sukan Olimpik Paris.
“Kami berjanji untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam semua operasi kami dan menghargai keprihatinan dan sokongan orang ramai,” katanya.
MOM turut menekankan bahawa segala perbelanjaan telah dirancang dengan teliti dan diperlukan untuk penyertaan atlet negara.
“Pakaian rasmi yang menarik perhatian dan bagasi yang menjadi perhatian ditaja sepenuhnya rakan kongsi lama kami, Yonex Sunrise Malaysia dan Samsonite Malaysia, memastikan tiada beban kewangan tambahan ke atas MOM atau atlet,” katanya lagi.

































