Hamidin mengadakan pertemuan dengan Pau Marti Vicente di Mallorca, Ihsan FAM
PETALING JAYA: Pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente akan meneruskan segala perancangan yang telah direncanakan Kim Pan Gon untuk memastikan peningkatan positif skuad kebangsaan dapat diteruskan secara konsisten.
Menurut Utusan Malaysia, Pau Marti berkata, keputusan drastik Pan Gon sememangnya memberi kesan besar kepadanya kerana pengendali dari Korea Selatan itu merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya menyertai barisan kejurulatihan Harimau Malaya pada 2022.
“Pertamanya saya sangat menghargai Pan Gon kerana beliau individu yang membawa saya ke Malaysia. Beliau hubungi saya, cuba meyakinkan saya untuk meninggalkan negara dan kelab untuk menyertainya mengendalikan Malaysia, hampir tiga tahun yang lalu.
“Memang agak sedih apabila beliau telah meninggalkan pasukan. Beliau individu yang memberikan saya sokongan penuh untuk menggalas tanggungjawab baharu yang perlu saya pikul ini.
“Terima kasih kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) kerana memberikan kepercayaan ini. Tugas saya sekarang adalah untuk meneruskan apa yang kita telah lakukan di sepanjang tempoh dua setengah tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, Pau Marti telah mengadakan pertemuan dengan Hamidin yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Mallorca, Sepanyol.
Mengulas lanjut, Pau Marti berkata, semua barisan kejurulatihan sedia ada akan terus bersama untuk membawa Harimau Malaya ke tahap tertinggi yang boleh dan membangunkan pasukan ini secara bersama.
“Kita sentiasa bercakap soal konsistensi. Bukan untuk tempoh setahun dua. Tapi kita nak pasukan kita ini tampil dengan prestasi baik secara konsisten untuk tempoh selama mana yang boleh dan jangan sesekali kembali ke belakang.
“Jadi, selain perbincangan mengenai perancangan menjelang Pestabola Merdeka 2024 dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, saya dan Datuk Haji Hamidin turut sudah mula melakukan perancangan awal bagi memastikan persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan dibuat dengan lebih baik,” kata Pau Marti.