Gerald Rentap Jabu (dua dari kiri) meninjau lokasi bagi penganjuran SUKMA 2024 di bahagian Mukah, Sarawak.
MUKAH: Sarawak akan mengemukakan permohonan agar sukan Sepak Takraw Wanita Regu Berpasukan terus dianjurkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, sehingga ke hari ini hanya lima buah negeri telah menghantar penyertaan yang tidak menepati kuota pertandingan.
“Esok saya akan bersama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah) menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi SUKMA di Kuala Lumpur.
“Kita juga telah berbincang dengan pihak Majlis Sukan Negara dan pihak kementerian, walaupun lima pasukan tetapi kita mengharapkan dan merayu sukan ini akan dapat dipertandingkan kerana lima negeri ini telah lama bersedia untuk pertandingan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau beberapa lokasi SUKMA XXI 2024 di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai insentif kepada atlet yang cemerlang pada temasya SUKMA kali ini, beliau yang juga Chef De Mission (CDM) kontinjen Sarawak berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dan akan diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kita berharap sokongan padu diberikan kepada atlet kita. Kita menang, mesti ada insentif.
“Ini memberikan motivasi dan penghargaan kepada usaha serta perjuangan mereka,” jelas Rentap.
































