Amir Hamzah Azizan
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, cukai tersebut bersifat cukai kepenggunaan yang meluas dan sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula GST dalam keadaan rakyat yang berpendapatan rendah dan menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi.
“Oleh itu, kerajaan akan terus menambah baik cukai sedia ada dan memperkenalkan cukai yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai baharu seperti GST.
“Sebarang perubahan dasar kepada sistem percukaian seperti melaksanakan semula GST perlu diteliti supaya bersifat progresif, mudah ditadbir, tidak memberikan kesan negatif kepada kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi dan yang paling penting dapat menjana hasil yang mampan kepada negara,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Bersatu-Langkawi), yang bertanyakan sama ada kerajaan berhasrat untuk melaksanakan semula GST memandangkan kutipannya bermula April 2015 sehingga Mei 2018 adalah RM184 bilion, sekali gus mencatatkan jumlah yang lebih tinggi daripada kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
































