Anthony Loke Siew Fook pada Majlis Pelancaran Trak EV Milo di Kilang Nestle Chembong, Rembau kelmarin.
REMBAU: Kementerian Pengangkutan akan menyokong penggunaan kenderaan elektrik (EV) melalui pelbagai dasar dan pelaksanaan proaktif daripada semua pihak termasuk swasta dalam usaha meneruskan penjagaan kelestarian alam sekitar.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif yang masih baharu itu mampu mencetus perubahan yang berkesan bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sekali gus selari dengan matlamat negara untuk mencapai sasaran emisi sifar bersih.
“Usaha ini selari dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 yang bertujuan mengurangkan penggunaan karbon sektor pengangkutan Malaysia.
“Buat masa ini pengangkutan merupakan penyumbang emisi karbon dioksida kedua terbesar, iaitu sehingga 30 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau negara,” katanya di sini kelmarin.
Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Pelancaran Trak EV Milo di Kilang Nestle Chembong, Rembau di sini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols.
Menurut Anthony Loke, syarikat Nestle Malaysia telah menjadi pelopor penggunaan trak kenderaan elektrik (EV) untuk mengangkut bekalan Milo merentasi sempadan di negara ini.
“Kebanyakan barang diangkut melalui lori kontena secara konvensional menggunakan diesel yang tidak mesra alam sekitar, kita hendak kurangkan diesel sebab itu kita galakkan penggunaan EV.
“Usaha Nestle ini bukan sahaja menjadi contoh kepada pemain-pemain industri tetapi mendorong syarikat dari segenap sektor mempertimbangkan cara bagaimana mereka boleh mencapai matlamat kelestarian negara,” katanya.
Jelas beliau, inisiatif logistik hijau Nestle Malaysia menggunakan trak EV untuk penggunaan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura itu menyumbang kepada matlamat negara untuk menggalakan penyelesaian pengangkutan lestari.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut memberikan kelulusan secara pembuktian konsep (POC) kepada Nestle untuk penggunaan kenderaan penggerak utama (prime mover) dan treler yang berbeza syarikat untuk menghantar bekalan Milo ke Singapura.
“Syarikat Nestle merupakan yang pertama atau perintis kepada kelonggaran ini dalam usaha kerajaan menyokong penggunaan EV .
“Biasanya lori mempunyai dua lesen iaitu untuk kepala (prime mover) dan tangki belakang, syarikat sama perlu memiliki kedua-dua lesen (prime mover dan tangki), dalam kes ini kita akan benarkan dua syarikat berlainan untuk sediakan perkhidmatan ini supaya Nestle boleh mulakan agenda hantar barang melalui trak EV dengan cepat dan kurangkan kos,” katanya.
Juan Aranols pula memberitahu, inisiatif perimtis di bawah program Milo Sayang Bumi itu mencerminkan dedikasi Nestle untuk mencapai kecemerlangan operasi dalam masa sama mempergiatkan usaha kelestarian.
“Sebanyak 1,750 perjalanan untuk membawa bekalan Milo dibuat setiap tahun antara kilang Nestle di Chembong, Rembau ke kilang di Jurong, Singapura yang meliputi jarak 280 kilometer setiap perjalanan
“Dengan penggunaan trak EV, ia berupaya mengurangkan emisi karbon sebanyak 1,000 tan setahun.”
Tambah beliau, syarikat akan memperoleh empat trak EV tambahan dalam tempoh enam bulan akan datang dengan matlamat untuk mengubah laluan tersebut menjadi 100 peratus hijau.






























