Satishkumar ketika tiba di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memulakan penghantaran perkhidmatan komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain.
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dan seorang pemilik rumah kebajikan didakwa di dua mahkamah di sini hari ini berkait kes buli siber pempengaruh Esha.
Menurut Utusan Malaysia, di Mahkamah Sesyen, B. Satishkumar, 40, mengaku bersalah atas pertuduhan memulakan penghantaran perkhidmatan komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui akaun TikTok, dulal_brothers_360 pada pukul 10.12 malam, 30 Jun lalu si sebuah premis di Jalan Ipoh, Sentul di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Sub Sekyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Bagaimanapun, Sathiskumar mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan mengaibkan dan mengganggu kesantunan P.R. Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Esha melalui perkhidmatan aplikasi TikTok serupa pada masa, tarikh dan tempat sama.
Bagi pertuduhan ini, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan 16 Ogos ini bagi sebutan semula kes untuk pelantikan peguam dan jatuh hukum bagi Satishkumar.
Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Shalini Periasamy, 35, didenda RM100 selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mendiang.
Mengikut pertuduhan, Sharlini didakwa dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mendiang Esha melalui akaun TikTok, alphaquinnsha dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.
Sebelum ini media melaporkan dua individu ditahan kerana disyaki melakukan buli siber terhadap Esha pada 8 dan 10 Julai lalu.
Esha yang juga aktivis ditemui meninggal dunia sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan seksual diterimanya di media sosial daripada dua individu.






























