Mengikut kamus dewan, trauma membawa maksud rasa terkejut (terganggu fikiran yang amat sangat) sehingga meninggalkan kesan yang mendalam, menakutkan dan berpanjangan. Ya, itulah perasaan trauma.
Hakikatnya, ramai sahaja dalam kalangan kita yang mempunyai trauma aneh sehingga membuatkan orang tertanya-tanya, betulkah itu trauma atau sengaja diada-adakan? Jangan fikir negatif okey!
Edisi kali ini kita menyenaraikan lima selebriti Korea Selatan yang mempunyai trauma yang aneh. Sampai ada takut dengan kaki ayam!

DASOM SISTAR
Menurut Utusan Malaysia, perempuan dan berat badan terutama selebriti memang tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan anggota Sistar, Dasom. Kongsi teman rapat penyanyi itu, Dasom sangat takut dengan pertambahan berat badan.
Pertambahan satu kilogram sahaja sudah cukup untuk membuatkan penyanyi itu naik hantu dan mula kemurungan. Dia takut akan kelihatan gemuk di hadapan kamera.
Maka setiap kali dia naik hantu kerana berat badan bertambah satu kilogram, dia akan mula berdiet secara ekstrem. Itu bukan trauma tetapi mungkin simptom anorexia. Yang tidak-tidak.

SOJIN GIRLS DAY
Kalau anda peminat drama Korea, pastinya ada akan tahu dengan makanan kegemaran rakyat di sana. Salah satunya adalah kaki ayam yang dimakan pedas atau masam.
Namun berbeza pula dengan salah seorang anggota Girls Day, Sojin yang mendedahkan dia trauma dengan kaki ayam. Bukan sahaja trauma, malah dia takut untuk melihat apatah lagi memakannya.
Jelas Sojin, kaki ayam tidak sepatutnya dijadikan hidangan. Apabila dia melihat kaki ayam, secara automatik dia membayangkan seperti kaki ayam itu akan terbang ke arahnya. Eh! pelik, sedap lah kaki ayam!

PARK JI YOON
Kelakar tetapi inilah hakikatnya. Penyanyi dan pelakon, Park Ji Yoon pernah memberitahu umum dia trauma dan takut melihat pelajar yang memakai seragam lengkap ke sekolah. Ini pelik sangat.
Kongsi Ji Yoon, dia mula trauma dengan perkara tersebut ketika menjalinkan hubungan dengan anggota H.O.T, Kangta. Jelasnya, Kangta sering dikerumuni pelajar sekolah sehingga membuatkan dia takut,
Sejak itu, Ji Yoon mula rasa trauma dan takut jika terlihat pelajar sekolah. Lebih-lebih mengenangkan ‘rusuhan’ pelajar perempuan tatkala melihat teman lelakinya. Entah-entah bukan trauma tetapi cemburu.

SULLI
Trauma penyanyi, Sulli agak normal dan tidaklah terlalu aneh. Namun perkongsiannya mendapat perhatian lantaran ramai peminatnya menceritakan trauma sama dengan artis kegemaran mereka itu.
Ketika di usia 20 tahun, Sulli sebenarnya pernah hampir lemas apabila dia tidak dapat mengawal diri dan cemas ketika melakukan aktiviti menyelam. Bermula dari saat itu, dia sangat takut dengan air terutama laut.
Bagaimanapun kisah trauma dia kini hanya tinggal satu kenangan kerana penyanyi ini sudah meninggal dunia selepas dipercayai membunuh diri akibat dibuli secara siber.

TAEYEON SNSD
Sebagai seorang selebriti, adalah sangat memelikkan jika anda mempunyai trauma atau ketakutan terhadap kamera. Tetapi itulah yang didedahkan oleh salah seorang anggota SNSD, Taeyeon.
Dedah gadis itu, dia terlalu banyak menghabiskan masa di hadapan kamera sehingga menyebabkan timbul rasa trauma dengan bunyi petikan kamera. Sampai jadi ketakutan dengan kamera.
Sehingga kini, Taeyeon masih merasakan trauma dan takut dengan kamera terutama aktiviti paparazzi sangat luas di Korea. Namun atas dasar profesionalisme, dia telan sahaja ketakutan itu. Nama pun selebriti kan?






























