Empat lelaki warga emas yang disyaki terlibat dengan aktiviti mengedar dadah ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar George Town, Pulau Pinang, Jumaat lalu.
GEORGE TOWN : Empat lelaki warga emas berusia antara 59 hingga 62 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan Jumaat lalu selepas disyaki terlibat dengan aktiviti mengedar dadah.
Serbuan yang dibuat susulan operasi terancang di sekitar pusat bandar, Ayer Itam dan Bandar Baru di sini itu turut membawa kepada penemuan makmal haram memproses dadah selain rampasan dadah jenis syabu dan heroin yang dianggarkan bernilai RM178,500.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam operasi yang berlangsung hampir 12 jam bermula 9.05 pagi Jumaat itu, seorang lelaki tempatan berumur 59 tahun disyaki ketua sindiket dadah berkenaan ditahan di kawasan parkir di pusat bandar.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak polis kemudiannya telah merampas satu paket dadah disyaki heroin seberat 115 gram, bernilai RM920.
“Kemudian, dengan dipandu arah oleh suspek, polis telah menyerbu sebuah rumah di kawasan yang sama dan menjumpai sejumlah dadah di dalam bilik di rumah berkenaan,” katanya di sini kelmarin.
Menurut Hamzah, antara dadah yang dijumpai di dalam bilik di rumah itu ialah satu plastik lutsinar yang dibaluti kertas berwarna coklat disyaki dadah ‘heroin base’ dengan anggaran berat 377 gram bernilai RM32,500.
“Turut dijumpai ialah tujuh bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1,474 gram bernilai RM11,792; lima bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 4,099 gram bernilai RM132,000 serta enam paket plastik lutsinar disyaki kafein anggaran berat 3,474 gram bernilai RM1,200,” ujar beliau.
Jelas Hamzah, hasil soal siasat, pasukan serbuan seterusnya berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berusia 60 hingga 62 tahun di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan Ayer Itam dan Bandar Baru yang disyaki merupakan ahli sindiket dadah berkenaan.
“Susulan penahanan itu, pihak polis kemudian berjaya merampas dua paket plastik lutsinar yang disyaki dadah heroin dengan anggaran berat 10.1 gram bernilai RM88,” katanya yang memaklumkan, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket berkenaan aktif sejak awal bulan Mac tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati, tiga daripada suspek positif dadah jenis morfin dan semakan lanjut juga mengesahkan tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 Julai sehingga 19 Julai depan untuk siasatan,” katanya yang menjelaskan, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 25,000 orang atau 25,000 kali penggunaan.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, polis turut menyita dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Chevrolet bernilai RM5,000 dan sebuah motosikal jenis Honda Dash bernilai RM3,700 dalam serbuan berkenaan.




























