Biskut yang dipercayai dicampur racun digantung di sebuah kebun buah- buahan di Kampung Air Putih, Kemaman.
KEMAMAN: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Kampung Air Putih, dekat sini, dikejarkan ke Hospital Kemaman selepas termakan biskut yang dipercayai mengandungi racun di sebuah kebun buah-buahan, pada Jumaat.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari, mangsa, Mohd. Daynail Haikal Alias, tiba-tiba tidak sedarkan diri selepas termakan biskut yang digantung pekebun pada sebatang kayu, dipercayai untuk menghalau kera.
Bapa mangsa, Alias Saras, 57, berkata, sebelum kejadian, anak keempat daripada lima adik beradik itu melalui sebuah kebun pisang dan kelapa berhampiran kediamannya untuk memancing bersama seorang rakannya.
“Biskut tersebut digantung dalam plastik pada sebatang kayu, mungkin untuk halau haiwan liar. Selepas termakan biskut tersebut, anak saya tiba-tiba pengsan dan mulutnya berbuih seakan-akan sawan.
“Rakannya bergegas meminta bantuan bapanya untuk membawa anak saya ke Klinik Kesihatan Air Putih sebelum dia dikejarkan ke Hospital Kemaman,” katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.
Alias berkata, bagaimanapun, dia bersyukur anaknya kini stabil dan beransur pulih.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.
“Kita menerima laporan berkaitan kejadian pada petang ini dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Minggu lalu, media melaporkan, dua adik beradik, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi masing-masing berusia tiga dan dua tahun maut selepas termakan jajan yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah.
Makanan ringan yang digantung di pagar kebun itu dipercayai dicampur racun tikus, juga bertujuan untuk menghalau haiwan liar.


































