PORT DICKSON: Lima individu ditangkap polis selepas seorang rakan mereka iaitu orang kurang upaya (OKU) mati lemas dalam kejadian di sebuah kolam renang dekat hotel di Batu 3, di sini, awal pagi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun kira-kira pukul 7.48 pagi semalam berkaitan rakannya lemas dalam kolam berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati si mati yang berumur 38 tahun seorang OKU yang lumpuh separuh badan telah datang bersama lima orang rakannya dari Subang Jaya, Selangor ke Port Dickson untuk menyambut ulang tahun kelahiran.
“Mereka menginap di sebuah hotel dari 11 Julai hingga semalam. Si mati bersama rakan telah mandi di kolam tersebut kira-kira 2 pagi bersama rakan-rakannya.
“Aktiviti tersebut disedari oleh pihak hotel yang melarang kumpulan tersebut untuk terus mandi.
“Siasatan lanjut mendapati si mati telah berenang bersama rakannya sehingga tidak menunjukkan sebarang reaksi tindak balas dan telah disahkan mati pada pukul 4.15 pagi semasa dikejarkan ke hospital menaiki ambulans,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Aidi Sham lagi, hasil bedah siasat yang dijalankan pada pukul 9.30 pagi tadi mendapati punca punca kematian adalah disebabkan mati lemas.