Lokasi kejadian mayat seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di bahagian belakang kawasan kaki lima sebuah perhentian bas di Jalan Wakaf Siku, Kota Bharu, Kelantan kelmarin.
KOTA BHARU: Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan terbaring dipercayai ditikam pada bahagian belakangnya di kawasan kaki lima sebuah perhentian bas di Jalan Wakaf Siku, di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemukan orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu selepas terdengar suara mangsa meminta tolong kira-kira pukul 10 pagi.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini oleh orang awam.
Seorang pekerja kedai kasut yang dikenali Eri, 29, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas didatangi anggota polis meminta bantuan untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bahagian depan dan belakang premisnya kira-kira pukul 11.30 pagi kelmarin.
Menurutnya, dia terkejut selepas dimaklumkan mengenai kejadian seorang lelaki ditikam berhampiran perhentian bas yang terletak beberapa meter dari premisnya.
“Saya lihat ada seorang lelaki sedang tidur di perhentian bas itu dengan berpakaian lengkap semasa tiba di kedai pagi tadi (kelmarin).
“Saya tidak ambil kisah mengenai lelaki itu kerana dia pernah tidur di situ. Saya juga tidak kenal mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Eri memberitahu, sebaik sahaja menyedari kejadian itu, dia bersama dua rakannya ke lokasi mendapati mangsa sudah dibawa ke hospital.
































