Seorang anggota polis cedera parah dirempuh seorang pemandu mabuk ketika bertugas mengawal lalu lintas di Jalan Pantai, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis cedera parah dirempuh seorang pemandu mabuk ketika sedang bertugas mengawal aliran trafik di Kilometer 3.6, Jalan Pantai menghala ke arah Permas Jaya, di sini awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota yang berusia dalam lingkungan 30-an itu mengalami patah tulang pinggul kiri selain luka pada bahagian muka, dagu dan tangan kanan dalam kejadian pada pukul 7.05 pagi itu.
“Kemalangan itu berlaku ketika anggota tersebut sedang membuat kawalan lalu lintas melibatkan sebuah kereta yang terbabas di kawasan tersebut. Semasa proses penundaan dilakukan, sebuah Proton Wira dari arah belakang telah mengubah haluan dari lorong kanan ke kiri lalu melanggar anggota polis berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut, anggota telah tercampak ke atas cermin hadapan Proton Wira tersebut sebelum melambung dan terjatuh di tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Raub berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang memandu Proton Wira itu turut mengalami luka pada tangan kiri.
“Ujian pernafasan dibuat terhadap pemandu berkenaan mendapati dia positif alkohol, namun ujian saringan air kencing mendapati dia negatif penyalahgunaan dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A)(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
Raub meminta saksi kejadian untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat menerusi talian 014-6977122.