KOTA KINABALU: Lebih 150 penjaja Api-Api Night Food Market @ Gaya Street (AANFM) turut serta dalam Operasi Pembersihan Jalan Gaya anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) semalam, bermula 6 petang hingga 9 malam.
Menurut DBKK dalam kenyataan hari ini, aktiviti gotong-royong yang buat julung kalinya diadakan itu telah menyaksikan sinergi positif antara DBKK dan kumpulan penjaja AANFM, yang bersatu hati ingin melihat Jalan Gaya dalam keadaan bersih, kemas dan teratur.
Operasi pembersihan ini telah berjaya mengukir lebih makna dan kenangan, apabila kumpulan penjaja AANFM telah hadir sendiri bersama ahli keluarga mereka dan bersama-sama membersihkan tapak AANFM.
Aktiviti pembersihan telah melibatkan kerja-kerja pencucian permukaan jalan raya, sementara DBKK mengetuai kerja-kerja pembersihan tumbuhan liar atas bangunan, penyelenggaraan pokok, penyelenggaraan pendawaian elektrik, pembaikan papan tanda rosak dan pembaikan jalan raya.
Ia bermula dari Blok A iaitu berhampiran pintu gerbang Jalan Gaya dan berakhir di
Blok D.
Diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert B. Lipon, operasi
pembersihan ini turut melibatkan kaki tangan DBKK daripada Jabatan Pelesenan selaku jabatan penyelaras, Jabatan Landskap, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP), Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Pengangkutan dan Trafik (JPT) dan Jabatan Kawalan dan Bangunan (JKBn).
Turut hadir Pengarah Jabatan
Pelesenan, Rozie Khan A. Halik dan Hana’aifah A. Suhaili, Pengarah Jabatan Pengangkutan dan Trafik.
Menerusi inisiatif ini, DBKK meletakkan harapan utama agar Jalan Gaya akan terus kekal bersih, kemas, teratur dan menjadi contoh tapak aktiviti pasar malam yang selamat kepada penjaja dan sentiasa gemar dikunjungi oleh pelancong dan warga Bandaraya Kota Kinabalu.
Operasi Pembersihan Jalan Gaya 2.0 diteruskan hari ini.
Lokasi aktiviti pasar malam AANFM pada 13 Julai 2024 akan dipindahkan
sementara ke Padang Merdeka Kota Kinabalu, bermula 6 petang hingga 12 tengah malam.