Ramli Mohamed Yusof menunjukkan barangan yang dirampas.
KUALA LUMPUR: Seramai 85 individu kerugian RM3.2 juta akibat ditipu sindiket pelaburan ayam kampung yang menjanjikan pulangan seekor ayam kampung atau RM13 sebulan.
Kegiatan sindiket pelaburan itu dikenali sebagai Ayam Kampung Pertubuhan Amal Kita Kinta, terbongkar selepas polis menahan 11 individu melalui operasi khas di sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Labuan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof berkata, 11 individu yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia antara 38 hingga 56 tahun.
Kata beliau, mereka dipercayai berperanan sebagai pengasas, pengarah, setiausaha, kerani, ejen serta sukarelawan pertubuhan terbabit.
“Turut dirampas 13 buah kenderaan pelbagai jenis selain wang tunai RM1,000 dan pelbagai dokumen (71 set), kad bank (37 keping), telefon pintar (20 buah), komputer riba (17 set), rantai emas (13 utas), cop pelbagai jenis (11 unit), peranti elektronik (4 unit) dan dua cincin emas,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Ramli berkata, berdasarkan siasatan, sindiket itu beroperasi sejak awal 2023 dan menawarkan pelaburan kononnya berkaitan perniagaan ayam kampung.
Jelas beliau, perniagaan itu menawarkan pelaburan minimum RM250 dan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama pertubuhan terbabit.
“Bagaimanapun, bermula September 2023, pelabur-pelabur tidak lagi menerima keuntungan yang dijanjikan,” jelasnya.
Beliau memberitahu, setakat ini sebanyak 34 akaun bank dan Unit Amanah bernilai RM6.5 juta berkaitan perniagaan itu telah dibekukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Selain itu, turut disita ialah 13 buah kenderaan dengan nilai anggaran RM2.9 juta dan 2,143 ekor kambing baka Shami atau biri-biri.
“Anggaran nilai haiwan yang disita masih belum diperolehi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.


































