Jenazah salah satu daripada dua wanita yang dijumpai mati dalam sebuah kereta petang semalam dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM : Salah seorang daripada dua wanita yang dijumpai mati dalam sebuah kereta yang berkunci di Taman Sri Rambai di sini petang semalam dipercayai sedang menghabiskan cutinya di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, perkara tersebut disahkan oleh salah seorang waris mangsa iaitu abangnya yang bergegas datang dari Seremban, Negeri Sembilan selepas mendapat tahu mengenai berita tersebut.
Lelaki itu yang enggan namanya disiarkan berkata, mangsa berusia 32 tahun dan merupakan anak keempat daripada lima beradik.
Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya ialah kira-kira dua minggu lalu kerana mereka tinggal secara berasingan.
“Adik datang ke Pulau Pinang (untuk bercuti) bersama seorang lagi rakannya yang berusia 25 tahun. Berita ini (pemergiannya) agak mengejutkan kerana dia tidak beri apa-apa tanda (sebelum meninggal dunia),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini.
Mengulas lanjut, lelaki itu memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan selepas anggota polis menghubungi salah seorang adiknya semalam.
“Jenazah akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan sebaik sahaja proses bedah siasat selesai dijalankan,” katanya yang memaklumkan, adiknya bertugas sebagai seorang penjawat awam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi memberitahu, polis masih mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.
Dalam kejadian petang semalam, dua mayat wanita dijumpai dalam keadaan sudah berbau dalam sebuah kereta jenis Honda WRV yang berkunci.
Difahamkan, kedua-dua mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia lebih lima hari yang lalu berdasarkan kepada keadaan mayat ketika dijumpai.
Ketika ini, jenazah kedua-dua mangsa sudah dituntut ahli keluarga masing-masing kira-kira pukul 2 petang tadi selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.