KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan 245 kompaun terhadap pengusaha premis makanan yang gagal mematuhi syarat lesen dan gagal memastikan premis mereka berada dalam keadaan bersih dan teratur daripada Januari hingga Jun 2024 .
Menurut DBKK dalam kenyataan hari ini, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (Makanan dan
Premis Makanan) 1966 dan Undang-Undang Kecil (Anti-Sampah Sarap) 1984.
Dalam tempoh yang sama, DBKK melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) juga telah membuat pemeriksaan dan penggredan ke atas 1,133 premis makanan, yang mana sebanyak 326 premis telah mendapat gred A, 798 premis mendapat gred B dan sembilan premis mendapat gred C.
“Tandas-tandas di premis makanan turut diperiksa dan diberikan penarafan bintang sepanjang Januari hingga Jun 2024, iaitu 323 buah tandas premis makanan dianugerahkan 3 Bintang ke atas dan 392 buah tandas mendapat 2 Bintang ke bawah.
“Menerusi pemeriksaan ini, pengusaha
premis telah diarahkan untuk membuat penambahbaikkan dan memastikan tandas di premis mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih dan berfungsi dengan baik.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati sejumlah 280 premis makanan telah menjalankan kawalan makhluk perosak (‘pest control’) di premis mereka.
“Mana-mana premis makanan yang belum
berbuat demikian, hendaklah melaksanakan kawalan makhluk perosak dengan kadar segera,” kata kenyataan itu
DBKK mengucapkan Tahniah kepada premis makanan yang berjaya mencapai gred dan penarafan bintang yang cemerlang.
Semua pengusaha premis makanan dinasihati untuk mematuhi peraturan sedia ada demi menjamin kebersihan dan keselamatan kualiti makanan yang dijual.