Orang ramai memeriksa keadaan mangsa yang dihempap kayu balak dalam kejadian di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan hari ini- Utusan/Ihsan Pembaca
GUA MUSANG: Seorang wanita nyaris maut selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dibawa sebuah lori ketika sedang mengambil selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.23 pagi itu, mangsa, Siti Norelyana Kamaruzan, 21, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang di sini.
Menurut Utusan Malaysia, tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berkata, dia menerima panggilan mengenai kemalangan itu daripada seorang rakan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Katanya, dia terus bergegas ke hospital untuk melihat keadaan mangsa selepas menerima makluman mengenai kemalangan itu.
“Saya sempat melihat keadaan tunang yang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Gua Musang dan doktor memaklumkan keadaannya masih tidak stabil.
“Saya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku. Saya mengharapkan doa daripada orang ramai supaya tunang selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.


































