PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung ugutan terhadap seorang pempengaruh media sosial Rajeswary atau Esha yang ditemukan meninggal dunia di rumahnya pada Khamis lalu.
Suspek merupakan wanita tempatan berusia 35 tahun ditahan di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung, Selangor pukul 1.45 pagi ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek adalah pemilik salah satu akaun TikTok yang bekerja sebagai penjaga rumah kebajikan.
Menurut beliau, terdahulu polis menerima satu laporan kelmarin daripada seorang lelaki berusia 39 tahun berhubung ugutan diterima pempengaruh itu di aplikasi TikTok.
“Siasatan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku dua kali iaitu pukul 10.15 malam pada 30 Jun lalu dan pukul 4.10 pagi pada 1 Julai lalu.
“Semasa pengadu berada di Lorong Kolam Air 8 Jalan Ipoh dia terlihat dua posting melalui aplikasi TikTok akaun Dulal Brothers dan Tiktok akaun ‘Alphaquinnsha’ mengenai fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, kedua-dua akaun TikTok terbabit menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.
Kata beliau,kandungan itu juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Rajeswary serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah.
“Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar dikemukakan oleh pengadu kepada polis.
“Namun, hantaran berkenaan disyaki dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun Tiktok terbabit tidak lama kemudian” jelasnya.
Kata beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas kesalahan menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana kelakuan aib.
Beliau berkata, polis masih mengesan seorang lagi pemilik akaun yang membuat hantaran ugutan itu.
Jelasnya, suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sehingga 10 Julai ini bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan berhubung kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Kumaran Krishnan di talian 010-9093726 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222,” jelasnya
Terdahulu, media melaporkan pempengaruh berkenaan Rajeswary Appahu, 30, yang juga aktivis ditemui meninggal dunia di rumahnya, Khamis lalu, iaitu sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.






























