PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendekati bekas tahanan kumpulan ekstremis dan ajaran sesat di negara ini termasuk 13 bekas ahli kumpulan Al-Maunah bagi mengelakkan ancaman kepada keselamatan negara.
Ini bagi memastikan peristiwa serangan balai polis di Ulu Tiram, Johor yang menyebabkan anggota terkorban dan mencetuskan kebimbangan awam tidak berulang.
Pendekatan yang diambil adalah menerusi pelbagai program pemulihan terhadap bekas-bekas tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kesalahan mengikut Bab VIA Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi memastikan mereka tidak kembali aktif dalam kegiatan lama.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini sedang mengemas kini data 13 bekas ahli kumpulan Al-Maunah yang dibebaskan melalui pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2020.
Menurutnya, satu arahan telah dikeluarkan pada September 2020 agar PDRM menerusi Cawangan Khas menjalankan engagement (mendekati) 13 individu tersebut.
Razarudin berkata, satu lagi arahan untuk menjalankan engagement telah dikeluarkan melibatkan sebanyak lima kontinjen iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah dan Kelantan pada 27 Mei lalu.
“Tindakan ini bagi mendapatkan perkembangan terkini ke lebih baik dan tidak terjerumus dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang serta mengancam keselamatan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan awal mendapati seorang bekas tahanan Al Maunah telah meninggal dunia menjadikan jumlah terkini 12 orang.
“Setakat hari ini, kita hanya menerima satu laporan engagement yang dibuat di kontinjen Terengganu,” jelasnya.
Menurutnya, hasil dapatan sebahagian mereka berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap di kampung masing-masing.
“Mereka sukar mendapat pekerjaan tetap kerana stigma masyarakat yang masih menganggap mereka masih terlibat dengan aktiviti keganasan,” katanya.
Gerakan Al-Maunah dipantau polis termasuk menjejaki semula 13 banduan kumpulan itu yang dibebaskan daripada hukuman penjara sejak 2020 bagi mengetahui pergerakan serta aktiviti mereka.
Pemantauan itu dikatakan giat dilakukan selepas kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang mengorbankan dua anggota polis, Mei lalu.
Perkara itu didedahkan oleh seorang bekas banduan Al-Maunah yang mendakwa sejak kes serangan di balai polis tersebut pada 17 Mei lalu, polis semakin kerap menemui mereka.
Katanya, sejak kejadian yang mengejutkan negara itu, dia menerima banyak panggilan daripada anggota (Unit Cawangan Khas) untuk mengadakan pertemuan.






























