Dr. Mohammad Hanis Osman
PETALING JAYA: Bank Rakyat menawarkan bantuan khas banjir merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir di Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, kemudahan moratorium sehingga enam bulan itu membabitkan empat daerah termasuk di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.
“Langkah itu diambil bagi mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.
“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, itu termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i.
Pelanggan terjejas boleh memohon menerusi e-mel bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.
Mereka juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan atau melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my


































