Pasukan bomba giat menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa di kawasan terjejas banjir di Putatan- Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini meningkat daripada 114 orang kepada 328 orang setakat pukul 4 petang ini.
Menurut Utusan Malaysia, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan kesemua 328 orang daripada 105 keluarga itu ditempatkan di empat PPS yang dibuka di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli akibat banjir yang melanda sejak petang semalam.
Daripada jumlah itu, seramai 165 mangsa banjir daripada 67 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang dan 116 orang ditempatkan di Dewan Sri Putatan.
Sementara itu, 29 orang ditempatkan di Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran dan 18 orang ditempatkan di Dewan Balai Raya Kampung Bontoi, Tamparuli.
Banjir yang berlaku di Penampang turut meragut nyawa seorang wanita berusia 37 tahun yang dihanyutkan arus semasa menyelamatkan diri daripada kenderaan yang ditenggelami air berhampiran Jalan Penampang Bypass.
Banjir turut menyebabkan 10 sekolah yang mempunyai 5,077 pelajar di kawasan terjejas banjir di Penampang, Papar, Sipitang dan Tuaran ditutup.
Hujan lebat sejak tengah hari semalam turut mengakibatkan tanah runtuh berlaku hingga menyebabkan Jalan Tambunan-Penampang terputus. Jalan tersebut tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.


































