Hajiji dan Ewon bercakap dengan salah seorang mangsa banjir di Pusat Kebudayaan Penampang hari ini.
PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri supaya sentiasa berwaspada memandangkan musim hujan.
“Pastikan semua longkang dibersihkan, jangan tunggu hujan baru nak ambil tindakan.
“Kita mahu mengurangkan risiko dan mesti bersedia pada setiap masa,” katanya selepas melawat banjir mangsa di pusat penempatan sementara, Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.

Hajiji (tengah) meninjau keadaan banjir di Kampung Hungab, Penampang hari ini.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat prihatin terhadap mereka yang terjejas akibat banjir kilat dan akan membantu semua mangsa.
“Kerajaan Negeri bersimpati dengan nasib mereka jadi kami bersedia untuk memberi
bantuan tunai kecemasan RM1,000 kepada setiap keluarga yang berada di Pusat Kebudayaan Penampang.
“Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang merupakan Ahli Parlimen Penampang, juga akan
menghulurkan tangan,” katanya.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan untuk membantu mereka yang tidak dipindahkan ke pusat perlindungan sementara tetapi rumah mereka telah rosak teruk oleh banjir.

Hajiji menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Kebudayaan Penampang hari ini.
Terdahulu, Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong memberi taklimat kepada Ketua Menteri bahawa pada masa ini
terdapat 67 keluarga melibatkan 165 orang berlindung di pusat penempatan sementara itu sejak ia diaktifkan pada jam 5.25 petang kelmarin.
Beliau turut diberi taklimat bahawa 11 kampung di sekitar daerah Penampang ditenggelami air akibat hujan lebat kelmarin.
Satu nyawa terkorban melibatkan seorang wanita yang dihanyutkan arus deras berhampiran bulatan di Donggongon semasa banjir kilat.
Kemudian, Hajiji diiringi oleh Ewon, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Juri dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Sahari meninjau keadaan banjir di Kampung Tuavon dan Hungab.
































