Teo Nie Ching (tengah) bergambar dengan para pelajar cemerlang yang menerima sumbangan komputer riba di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai.
KULAI: Kerajaan kecewa dengan pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih belum siap sepenuhnya, khususnya melibatkan beberapa kontraktor.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelaksanaan projek Jendela Fasa 1 di kawasan terbabit sepatutnya siap pada 2022, namun setakat ini masih terdapat lebih 20 peratus kawasan yang belum dilaksanakan kontraktor walaupun tempoh masa lanjutan telah diberikan.
“Jendela Fasa 1 masih dilaksanakan kerana ada kontraktor yang belum siap. Jumaat lalu saya telah ke Sarawak untuk tinjau perkembangan projek itu dan saya akui memang kita hadapi kelewatan di Sabah dan Sarawak.
“Semua kontraktor pelaksana yang belum siap telah diberi tempoh lanjutan masa, tetapi kami kecewa kerana sehingga kini, lebih daripada 20 peratus kawasan di kedua-dua negeri itu belum siap lagi.
“Sehubungan itu, kami akan kenakan penalti terhadap kontraktor pelaksana lewat yang telah dikenal pasti atau kita akan kaji semula kontrak berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Program Sumbangan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Pejabat Pendidikan Kulai, di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut memberitahu, pelaksanaan inisiatif Jendela Fasa 2 bagaimanapun akan tetap dijalankan sebaik sahaja Fasa 1 selesai.
“Pada waktu ini kementerian sedang mengkaji kaedah dan teknologi terkini dan juga kos efektif. Ini kerana penggunaan gelombang mikro dan fiber kurang sesuai dilaksanakan di kawasan pedalaman.
“Kami akan kaji sama ada penggunaan konsep seperti di kampung Orang Asli yang menggunakan satelit sesuai atau tidak. Perkara ini akan dilancarkan apabila kita telah bersedia sepenuhnya,” ujarnya.
Inisiatif Jendela yang dilancarkan pada September 2020 itu bermatlamat mewujudkan sambungan digital yang mantap dan mampu milik dengan liputan jalur lebar berkualiti merentasi semua lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara.






























