Kereta Proton Waja yang membuat pengisian berulang petrol ditahan dalam semasa serbuan di sebuah stesen Rantau Panjang, Kelantan semalam – Ihsan KPDN
RANTAU PANJANG: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan seorang lelaki yang membuat pembelian berulang petrol dipercayai untuk penyeludupan di sebuah stesen minyak di sini semalam.
Suspek berusia 30-an itu ditahan pada pukul 12.28 tengah hari semasa sedang mengisi bahan bakar itu ke dalam kereta jenis Proton Waja.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarahnya Azman Ismail berkata, terdahulu suspek dikesan telah membuat pembelian minyak petrol sebanyak RM100 untuk kali pertama pada pukul 11.10 pagi
Menurutnya, lebih satu jam kemudian suspek membuat pengisian kali kedua dengan nilai RM75 pada pukul 12.28 tengah hari berdasarkan pemerhatian pasukan, CCTV dan rekod pembelian.
“Sebanyak 33 liter minyak petrol bernilai RM68 telah dirampas dan suspek ditahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Operasi ini turut dibantu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azman memberitahu, pihaknya akan terus melipat gandakan usaha membanteras ketirisan barang kawalan di stesen minyak yang terletak 50 kilometer (km) dari sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan.






























