Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick turut melawat Pusat Kebudayaan Sabah, di sini yang telah dijadikan Pusat Kawalan Bencana dan Pusat Pemindahan Mangsa Banjir.
PENAMPANG: Hujan lebat sejak jam 1.30 tengah hari tadi yang diburukkan oleh pertembungan air laut pasang dengan air sungai menyebabkan banjir besar di Penampang hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick turut melawat Pusat Kebudayaan Sabah, di sini yang telah dijadikan Pusat Kawalan Bencana dan Pusat Pemindahan Mangsa Banjir.
Turut bersama beliau ialah Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah dan Jawatankuasa Bencana Daerah.
Menurut Ewon, Pegawai Daerah Penampang telah mengisytiharkan pembukaan pusat bencana ini pada jam 5.25 petang tadi susulan hujan lebat di Penampang sejak jam 1.30 tengahari tadi yang menyebabkan banjir besar di Penampang.
“Pasukan keselamatan yang terdiri daripada PDRM, APM, JBPM yang dibantu oleh Kelab 4×4 WRS sedang menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir. Bagaimanapun, operasi ini juga terkesan akibat arus yang kuat.
“Pada ketika ini, beberapa jalan utama Penampang tidak dapat dilalui. Bekalan elektrik juga terputus di beberapa kampung dan kawasan perumahan. Tanah runtuh di tiga kawasan juga menyebabkan laluan utama tidak dapat dilalui ketika ini termasuk Jalan Penampang-Tambunan.
“Pertembungan air laut pasang dengan air sungai menyebabkan limpahan besar banjir ini.
“Saya menggunakan kenderaan ahli Kelab 4×4 WRS membuat tinjauan sebentar tadi dan melihat banyak kenderaan yang tersangkut,” katanya dalam ciapan di Facebook beliau.
Beliau turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Jawatankuasa Bencana Daerah untuk keperluan berkaitan operasi menyelamat dan keperluan lain di pusat pemindahan bencana.
“Saya juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim mengenai situasi banjir di Penampang ketika ini dan memaklumkan ketidakhadiran saya ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pagi besok akibat bencana ini. Sepatutnya saya mengambil penerbangan jam 5.20 pagi besok ke Kuala Lumpur.
“Saya juga telah memaklumkan penangguhan taklimat agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan penggantian saya untuk temubual dengan BERNAMA malam besok.
“Mari doakan operasi menyelamat dan memindah mangsa bencana ini dipermudahkan. Juga untuk semua mengambil langkah berhati-hati,” katanya.


































