Keadaan seorang pelajar tingkatan satu selepas ditemukan cedera dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dari sebuah bangunan sekolah di Kajang dekat sini semalam.
PETALING JAYA: Seorang pelajar tingkatan satu ditemukan cedera dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dari sebuah bangunan sekolah di Kajang dekat sini semalam.
Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menerima panggilan berupa maklumat kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abd. Yusof berkata, siasatan mendapati seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun telah dikejarkan ke Hospital Kajang.
“Mangsa dirawat dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Jika disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor bagi membantu siasatan,” ujarnya.


































