Sebuah bas persiaran terbalik dalam kemalangan di kilometer 16.5 jalan turun Genting Highlands di Bentong, Pahang.
BENTONG: Dua maut manakala 19 orang selamat apabila sebuah bas persiaran terbalik di kilometer 16.5 jalan turun Genting Highlands di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dan Bentong bersama lima buah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 10.43 pagi.
“Setiba di tempat kejadian pada pukul 10.57 pagi dalam jarak perjalanan 17 kilometer, ketua operasi mengesahkan kemalangan sebuah bas terbalik.
“Ketika penugasan menyelamat, anggota bomba mendapati dua mangsa lelaki warga Cina tersepit dan disahkan maut manakala 19 lagi selamat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ismail, penumpang dalam bas itu terdiri daripada 11 lelaki warganegara Cina, tujuh wanita juga warganegara Cina manakala tiga lagi warga tempatan.


































