Wong Kah Woh
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengetengahkan pempengaruh pendidikan yang mempunyai kepakaran dalam bidang bimbingan dan kaunseling bagi menangani masalah ketidakhadiran calon dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, terdapat beberapa punca ketidakhadiran luar kawalan KPM yang dikenal pasti melalui analisis yang dilakukan.
Menurut beliau, antaranya terdapat kalangan calon dikesan bekerja, mempunyai masalah keluarga, kemalangan, sakit dan beberapa faktor lain.
“KPM sentiasa berusaha meningkatkan kehadiran murid ke sekolah dan juga kehadiran murid ke SPM dengan intervensi antaranya mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019: Panduan Pengurusan Rekod Sistem Kehadiran Murid Di Sekolah KPM untuk menegaskan rekod kehadiran murid, anak-anak kita ke sekolah.
“Memberi peringatan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) untuk memantau kehadiran dan mengoptimumkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah melalui program pembangunan diri murid,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang memintanya menyatakan apakah tindakan KPM bagi mengatasi isu 10,160 daripada 38,3685 calon SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan.
Kah Woh berkata, KPM mengambil berat terhadap isu beban yang perlu ditanggung oleh kumpulan ibu bapa dan keluarga dalam memastikan anak-anak mereka dididik.
“Itu sebab pada tahun ini, bantuan awal persekolahan sahaja, KPM menyediakan satu peruntukan RM788 juta kepada semua anak-anak kita di sekolah, berbanding pada tahun lepas RM738 juta.
“Untuk menggalak anak-anak kita membaca, pada bulan lepas sahaja Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan pemberian baucar buku dari darjah empat hingga ke peringkat siswazah. Jumlah peruntukan tersedia adalah dalam lingkungan RM600 juta,” jelasnya.

































