Saifuddin Nasution
PUTRAJAYA: Polis memberkas lapan individu tempatan termasuk dua wanita disyaki mempunyai kaitan dengan elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan menerusi operasi khas di empat negeri pada 22 dan 23 Jun lalu.
Penahanan suspek termasuk seorang bekas pensyarah di salah sebuah universiti tempatan itu dibuat selepas mendapati wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, beberapa orang kenamaan serta pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka ditahan oleh anggota Cawangan Khas menerusi operasi serentak di Johor, Kelantan, Perak dan Selangor.
Beliau berkata, penahanan suspek yang disyaki terkait dengan elemen radikalisme Daesh dan Islamic State (IS) adalah susulan daripada operasi sebelumnya pada 15, 17 Mei dan 30 Mei lalu.
“Semua suspek ditahan berpandukan kepada peruntukan undang-undang iaitu Bab VIA – Kesalahan-Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan [Akta 574] dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747].
“Siasatan awal PDRM terhadap kesemua suspek mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi PDRM,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Saifuddin Nasution, suspek-supek itu terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan status ekonomi seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional terpelajar iaitu bekas pensyarah universiti tempatan.
Katanya, lingkungan usia suspek yang kesemuanya adalah warga tempatan antara 25 hingga 70 tahun yang mempunyai ideologi sama.
“Mereka mempunyai satu idealisme, pegangan dan kepercayaan dengan satu keyakinan bahawa kepimpinan negara ini tidak berteras kepada sistem khalifah misalnya.
“Apabila keadaan itu tidak wujud, maka mereka mewajarkan tindakan untuk memerangi pemerintah. Itu antara sebahagian tanda-tanda pegangan kumpulan ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus prihatin dan peka terhadap ancaman bentuk baharu oleh elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan yang mana dewasa ini menyalahgunakan perkembangan teknologi moden.
Katanya, ini termasuk menjadikan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman yang berbahaya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati kepada elemen ekstremisme, radikalisme serta keganasan di negara ini.
Katanya, pihak berkuasa tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan berkenaan.
“Justeru, kerajaan menggesa orang ramai, aktivis masyarakat, organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan semua pihak untuk bekerjasama menggembleng usaha bagi bersama-sama menangani ancaman ini daripada menggugat perpaduan dan keamanan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi jaminan bahawa masyarakat umum tidak perlu berasa gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia.
Katanya, hal ini didorong oleh kecekapan dan ketangkasan PDRM menangkis ancaman ekstremisme, radikalisme dan keganasan di peringkat awal yang menjadi manifestasi kesiapsiagaan serta kompetensi pasukan dalam mendepani sebarang ancaman pada setiap masa.
Beliau berkata, pihaknya turut menolak penahanan suspek itu ada kaitan dengan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram Mei lalu kerana tindakan polis membanteras unsur ekstremisme adalah berterusan.


































