Kemalangan yang berlaku di Lebuh AMJ menghala ke Rembia, Alor Gajah, Melaka.
ALOR GAJAH: Gara-gara tayar sebuah kereta pecah dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menghala ke Rembia di sini kelmarin, insiden itu mengakibatkan pemandunya maut manakala tiga yang lain termasuk seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan cedera parah.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Nazri Mat Rais berkata, nahas kira-kira pukul 7 malam tadi mengorbankan pemandu kereta Perodua Bezza, Mohammad Ariffin Abdullah Thani, 33.
Katanya, tiga lagi mangsa yang menaiki kereta Proton Saga ialah Nursyahida Assyura Mohamad Nor, 30; Nursyahadah Assyura Mohamad Nor, 24, dan Aisy Maleeqa Muhammad NurHafiz.
Ujarnya, difahamkan kemalangan berlaku selepas tayar Perodua Bezza itu pecah lalu hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Sepasukan 11 anggota termasuk satu jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) telah dikejarkan ke lokasi dan tiba lapan minit kemudian.
“Setiba di lokasi kita dapati seorang mangsa lelaki menaiki Perodua Bezza telah tersepit dan berjaya dikeluarkan sebelum di hantar ke hospital menaiki ambulans. Dia bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia.
“Tiga lagi mangsa adalah dua wanita serta seorang bayi perempuan dan kesemua mereka mengalami kecederaan parah termasuk di kepala,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza yang tiba di tempat kejadian telah masuk ke laluan bertentangan lantas bertembung dengan Proton Saga.
Ujarnya, bayi terlibat kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Terdapat kesan geseran ditemui di tempat kejadian. Di tempat kejadian juga tiada kamera litar tertutup (CCTV), saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
































