KUALA LMPUR: Seorang anggota Tentera Darat daripada Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Kidurong, Bintulu, Sarawak dilaporkan hilang ketika sedang bertugas di Limbang, Sarawak bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) Sarawak.
Menurut Utusan Malaysia, Sel Perhubung Raya Tentera Darat dalam kenyataan berkata, anggota berkenaan Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abdul Halim didapati hilang ketika menyertai Op Ukur.
Katanya, Op Ukur adalah operasi dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan, yang membabitkan penempatan anggota TDM sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang bermula 11 Jun hingga 2 September ini.
“Ketiadaan anggota dikesan pada Selasa lalu kira-kira pukul 12 tengah hari, ketika ketua kumpulan mendapati anggota berkenaan tiada diposisi belakang kumpulan.
“Kejadian berlaku pada kedudukan dijarak 2km di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600,”katanya.
Menurutnya, usaha pencarian juga dipergiatkan oleh TDM bermula Rabu lalu di kawasan berkenaan dengan membabitkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Awam lain yang dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga mengaturgerakan aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM.
“Adalah diharapkan anggota berkenaan dapat ditemui dalam keadaan selamat dan berharap agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu misi pencarian ini serta menjaga perasaan waris anggota yang terbabit,”jelasnya.































