PENAMPANG: Sebanyak 215 orang telah menjalani ujian saringan Human Papillomavarius (HPV) yang telah dilaksanakan di Penampang, Inanam, Keningau, Tenom dan Tulid melibatkan tujuh kawasan.
Program saringan HPV PCR percuma ini adalah anjuran yayasan ROSE dengan kerjasama Wanita DAP Sabah yang telah berlangsung selama tiga hari pada 10-12 Mei 2024.
HPV adalah sejenis virus DNA yang biasanya dijangkiti melalui hubungan intim serta sentuhan antara kulit di kawasan gential.
Jangkitan subjenis HPV berisiko rendah boleh menyebabkan ketuat (seperti ketuat alat kelamin), manakala yang lain diketahui menyebabkan pelbagai jenis kanser termasuk kanser serviks, dubur, zakar dan tekak.
ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, beliau melihat masih ramai wanita yang takut untuk membuat saringan ini melalui program saringan HPV PCR percuma yang telah dilaksanakan.
“Bagi saya, ini adalah satu peluang untuk mengetahui tahap kesihatan diri kita agar boleh dirawat dengan awal sekiranya dikesan positif.
“Keputusan saringan HPV PCR percuma yang lalu 6.9 peratus mendapat keputusan positif dan 87.9 peratus adalah negatif ini mengambarkan bahawa HPV ini memang ada dan perlu dicegah dengan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menekankan kepada wanita-wanita di luar sana bahawa saringan HPV PCR ini adalah selamat, tidak sakit dan senang di buat kerana mereka sendiri yang akan membuat pengambilan sample tersebut dan keputusan akan keluar seawal tiga minggu selepas membuat saringan.
“Program akan datang adalah memfokuskan kepada vaksinasi HPV di mana Pejabat ADUN saya akan kerjasama dengan National Cancer Society Malaysia, yang lebih fokus memberi vaksinasi kepada golongan perempuan yang berumur antara 9 hingga 45 tahun di Daerah Penampang dan sasaran adalah seramai 500 orang.
“Oleh itu, saya galakkan kolej atau sekolah swasta yang menepati syarat boleh hubungi pihak kami mengenai program ini untuk mendapat maklumat lanjut,” ujarnya.






























