PAPAR: Kumpulan Yayasan Sabah melalui Pejabat Zon Pedalaman Selatan (ZPS) dan Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens menganjurkan Bengkel Perpustakaan Online Public Access Catalogue (OPAC) dan u-Pustaka di SM Agama Negeri Islamiah, di sini, kelmarin.
Seramai 50 orang pelajar dari 10 sekolah sekitar Papar telah menyertai bengkel tersebut. Bengkel ini merupakan anjuran terakhir daripada tiga siri bengkel.
Objektif utama bengkel tersebut ialah membantu meningkatkan literasi maklumat dan literasi asas pencarian maklumat dalam perpustakaan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan perpustakaan.
Di samping itu, bengkel ini juga sebagai persediaan awal kepada para pelajar tingkatan lima dan enam yang akan melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi kelak.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Ketua Penyelaras Pentadbiran Zon Kumpulan Yayasan Sabah, Zulkhairi Haji Ismail.
Turut hadir Ketua Pustakawan Perpustakaan Penyelidikan Borneo Tun Haji Mohd. Fuad Stephens, Zainudin Saridi dan Penolong Kanan Kokurikulum SM Agama Negeri Islamiah, Sazali Ibrahim mewakili Pengetua SM Agama Negeri Islamiah.
































