Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan keputusan mengenai notis kekosongan enam kerusi wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, buat masa ini semua pihak perlu menunggu keputusan Speaker.
“Soal enam kerusi bersatu itu akan dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat dan biar beliau yang putuskan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya, hari ini.
Semalam, Bersatu menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen yang terhenti keahliannya secara serta-merta kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Notis pemakluman kekosongan kerusi tersebut dibuat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan sudah diterima Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kesemua Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi Parlimen P.030 Jeli; P.032 Gua Musang; P.059 Bukit Gantang; P.067 Kuala Kangsar; P.095 Tanjong Karang dan P.166 Labuan tersebut telah ditandatangani olehnya selaku Ketua Whip parti.
“Semua maklum semalam suatu kes duluan iaitu kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri telah diumumkan oleh Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Seri Mohd. Amar Abdullah.
“Ia merupakan keputusan tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata Ronald dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa makan tengah hari di Restoran Zainul Nasi Kandar Original, Kompleks C, 90, Medan Selera, Petaling Jaya bersama orang ramai.
Perdana Menteri kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut bersama-sama 1,500 jemaah.































